Nothing's Over !!.
N O T H I N G'S O V E R

Annyeonghaseyo


ArrienAmani @ L wife - Sixteen - Seoul
I inspirit and eLement forever
all my love is for eLement ?

Tagboard


Credits
Template : Arrien Inspirit
Big Help : K I M
Nice View:Google Chrome
Owner: Your Name


Bagaimana Untuk Menggembirakan Hati Yang Sengsara, Sedih dan Kecewa.
Saturday, February 12, 2011 • 11:59 PM • 0 comments

Bagaimana Untuk Menggembirakan Hati Yang Sengsara, Sedih dan Kecewa.

Sebenarnya nak menghilangkan rasa sengsara, sedih dan kecewa caranya ada banyak, dan keberkesanannya terpulang pada ketahanan mental Anda, emosi Anda, kesabaran Anda. Tapi saya boleh jamin cara yang saya kongsikan ni, sebelum saya menulisnya, telah diguna oleh kebanyakan orang dan telah ditulis oleh ramai pakar motivasi, penulis buku pembangunan diri dan mereka sendiri telah melakukannya dulu.
Untuk tips motivasi kali ini, saya kongsikan 7 tips asas menggembirakan hati yang sengsara, sedih dan kecewa serta cara untuk berdepan dengan emosi tersebut, saya gabungkan dengan cara saya sendiri. Kita mulakan dengan…

1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit.
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja Anda sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu.
Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua tu, selupa yang mungkin, kasi kosong abis! Bulatkan azam untuk memfokus kepada masa depan Anda, cita-cita Anda, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan.
Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian Anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

2. Buang Sikap Risau.
Ada dua kesan dari sikap risau ni, pertama ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah tanpa Anda pinta. Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan Anda dari segi fizikal dan mental. Risau membuat Anda selalu menjadi sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri Anda mengawal emosi. 

3. Belajar Rajin Bersyukur.
Ucap syukur atas kesemua yang Anda ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana Anda masih ada 5 deria yang lengkap, Anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur (dan bukannya bangun terus sakit jantung mahpun sudah berada di ALAM KEDUA), Anda ada kawan rapat yang memahami Anda dan Anda mempunya hanphone kesayangan Anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri Anda. Buat banyak kali dalam sehari.

4. Belajar Menjadi Pemaaf.
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa. gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tak puas hati, dendam, busuk hati). Seterusnya, meneutrakan gekombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda Anda.
Ketahuilah, Anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana Anda tak memaafkan kesalahan diri Anda di masa lalu ataupun Anda tak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri Anda satu ketika dulu, ataupun… Anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain terhadap diri Anda, yang membuat Anda sedih, kecewa dan geram tahap dewa..belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ni lalu menarik ketenangan datang pada diri Anda.

5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa.
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan Anda dan menjadikan Anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri Anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari “funny side” dalam setiap situasi, agar Anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa LAYAN kecewa sedangkan Anda boleh ketawa? Come on…

6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan. Walaupun perkara tidak berpihak kepada Anda, cari cara bagaimana Anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.
Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki Anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada Anda. Anda menjadi apa yang Anda selalu fikirkan.
Buat apa fikir yang buruk sedangkan Anda boleh tarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, Anda dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat. Dalam kata yang lebih advance, itu hukum Law Of Attraction.

7. Hati Mesti ‘Keras’.
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan Anda di masa lalu.
Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya. Cuba ingat balik kejahatan kecil yang Anda lakukan pada orang lain, mungkin ada walau Anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan.
Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri.
Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk Anda.
Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Belajarlah erti puas, Makna Bersederhana
• 11:31 PM • 0 comments
bersederhanalah dalam setiap amalan

BERSEDERHANA adalah sebaik-sebaik amalan yang dituntut oleh agama kita. Walau sesiapa pun kita, usah lupa bahawa kita ini sama sahaja pada pandangan Dia. Allah tidak pernah membezakan kita sebagai hamba mengikut pangkat, harta atau pun kejayaan di atas muka bumi ini. Yang dilihat adalah sebanyak mana amalan kita sebagai makhluk yang taat, juga sejauh mana usaha kita dalam mengejar sesuatu impian itu.
Apakah mesti kita seorang yang digelar hebat-hebat juga mesti menampilkan kepada orang ramai bahawa kita memang di kalangan golongan yang hebat-hebat. Ya, memang agama menuntut setiap umatnya supaya mengejar kemewahan di dunia di samping tidak mengabaikan tuntutan akhirat. Berjaya dunia berjaya juga kelak di sana nanti. Itulah juga yang sebaiknya.
Namun adakah mesti untuk kita sebagai hamba yang hina dan tidak punya apa ini untuk bermegah dengan apa yang telah kita kecap selama ini. Tidakkah semua ini hanya pinjaman? Bukankah lebih baik jika amalan merendah diri itu terus dijadikan asas dan pasak yang kukuh dalam pengamalan harian kita sebagai seorang hamba. Barulah bertepatan dengan status kita sebagai seorang hamba.
Apakah seorang doktor itu wajib untuk memakai kereta-kereta mewah, adakah seorang usahawan berjaya dan terkenal itu harus untuk memiliki rumah-rumah yang besar dan adakah hina seorang peniaga di pasar malam itu jika hanya memandu sebuah van yang buruk?
Hatta sampai sekalipun kita ke tahap manusia terkaya di dunia ini, kita tidak pernah dipaksa dan diwajibkan untuk mengejar semua perkara itu. Mengapa mesti kaya sering dikaitkan dengan kemewahan? Apakah kemewahan dan kekayaan itu sudah memang terpateri sinonim dengan lambakan harta dan wang ringgit? Aduh, alangkah indahnya sekiranya kekayaan dan kemewahan itu digandingkan sama dengan limpahan budi dan nilai agama yang turut juga mencapai kemewahan tidak terhingga dalam diri kita sebagai seorang manusia.
Jadilah kita manusia yang bersyukur. Sesiapa pun kita usah angkuh jangan bongkak dengan apa yang dikecap. Belajarlah erti puas, makna bersederhana. Bersederhanalah dalam setiap amalan. Itulah juga amalan yang sebaiknya.

~permatanurani~~

Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Tips Mengurangkan Stress (Motivasi Diri)
• 10:45 AM • 0 comments



Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya

Labels: ,


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Tips Mengekalkan Persahabatan
Monday, January 31, 2011 • 12:14 AM • 0 comments

Saling memberi kebebasan
Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur pada persahabatannya.
Saling menahan rasa cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah nikmatnya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh. Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkannya.
Saling memahami
Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu dia.
Saling mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.
Saling memberi kemaafan
Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
MenSyukuri Nikmat Sabar
Wednesday, January 26, 2011 • 8:46 AM • 0 comments
Salamullahi'alaikum...
     Baru-baru ini, penduduk kampung jadi kelam kabut apabila terlihat Pak Long mengamuk bersenjatakan buluh tumpat. Pak Long menjadi seakan hilang punca setelah diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah motosikal. Dengan lantang Pak Long bertanya kepada orang kampung, "Siapa yang langgar anak aku? Hah, cakap siapa?!" Walaupun ditenangkan beberapa kali, tetapi Pak Long tetap berkeras untuk mengetahui siapa penunggang motosikal tersebut. "Celaka punya budak! Kalau aku dapat kau, aku cincang-cincang sampai lumat." Tambah Pak Long yang semakin tak mampu mengawal emosinya.
     Ini salah satu dialog ringkas yang boleh kita ambil sebagai 'kenyataan masalah' untuk dibincangkan berkenaan dengan erti sabar dalam kehidupan. Tak ramai manusia yang dapat bersabar dengan sebenar-benar sabar. Ada sesetengah orang yang boleh bersabar tetapi masih ada sekelumit rasa dalam hatinya timbul juga penyesalan atau penafian dengan musibah yang menimpa, dan ada juga yang langsung tidak dapat bersabar seperti dialog di atas. Beruntunglah bagi mereka yang mampu bersabar dan teramat malanglah bagi mereka yang tidak dapat bersabar. Mengapa?

     Hal inilah yang kita istilahkan sebagai redha, yakni menerima ketentuan Tuhan dengan penuh berlapang dada. Langsung tiada rasa marah pada apa yang berlaku sebaliknya menerima takdir tersebut dengan berbaik sangka pada Allah. Cuba kita ambil langkah sebegini setiap kali kita ditimpa musibah. Dengan meletakkan tapak tangan pada bahagian dada sambil dipejamkan mata, kemudian dengarkan bisik hati kita;
     'Astaghfirullahal'azim...Ya Allah, aku mengerti setiap apa yang diberikan pada hamba hanyalah pinjaman, bukan hak milik kekal bagiku. Sesungguhnya segala apa yang dihadiahkan ini adalah hak Mu Ya Allah. Engkau berhak memberikan aku nikmat dan Engkau juga berhak mengambilnya kembali. Justeru aku tidak perlu bersedih dengan apa yang berlaku, lalu mana mungkin aku memarahi Engkau. Ampunkan aku Ya Allah'.
     Jika kata-kata seperti inilah yang memujuk hati kita setiap kali ditimpa musibah, maka syukurlah kerana kita sudah melepasi ujian pentarbiyahan Allah. Ujian dari Allah untuk menguji tahap kesabaran hambaNya. Memang sukar untuk menjadi panyabar, kerana kita perlu bersabar untuk menjadi penyabar. Dan, apabila kita sudah mampu menjadi penyabar, kita wajib bersyukur di atas nikmat kesabaran itu. Yakinlah bahawa setiap apa yang Allah jadikan pada makhluk, itulah yang terbaik.
     Telah berkata baginda Rasulullah SAW, "Tidak ada anugerah yang lebih baik selain memperolehi sifat sabar." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
     Namun, masih ramai yang tidak mampu bersabar dengan musibah yang melanda. Mereka menafikan sesuatu takdir dengan mengatakan Allah itu cuai, zalim dan sebagainya. Rasa redha sudah luput dalam diri mereka. Maka dengan itu hati mereka menjadi keras-sekerasnya. Selagi mana tidak ada yang memberi peringatan kepada mereka, selagi itulah mereka akan terus berdemonstrasi di hadapan Allah. Kononnya meminta 'hak asasi manusia' dikembalikan tanpa mereka sedari nikmat bernafas yang dianugerahkan padanya adalah 'hak mutlak Allah'. Disangka meminta hak sendiri, rupa-rupanya meminta hak orang lain.

Sabar atas Nikmah, Syukur atas Musibah

     Kita sering mendengarkan nasihat-nasihat dari para ustaz atau orang-orang lama berkenaan dengan sifat sabar dan syukur. Sesungguhnya yang kedua-duanya itu kunci kepada 'pintu Syurga'. Kata mereka, 'sabarlah di atas musibah dan syukurlah di atas nikmat Allah, kerana musibah dan nikmat itu adalah hadiah dari Allah. Ia bersifat tarbiyah langsung dari Allah. Jika kita mampu bersabar dengan musibah yang didatangkan pada kita, maka kita akan beroleh ketenangan dari Allah. Manakala jika kita sering bersyukur di atas segala nikmat yang dilimpahkanNya, maka lengkaplah erti kebahagiaan kita'.
     Tapi pernahkah kita terbalikkan ayat itu? Kita cuba jadikan, 'sabar di atas nikmah (nikmat) dan syukur di atas musibah'. Bunyinya macam aneh, tetapi hakikatnya tidaklah seaneh yang kita sangkakan, atau mungkin juga sangkaan kita yang sebenarnya aneh.
Cuba kita bayangkan seorang ahli perniagaan yang baru mendapatkan sebuah kehidupan yang lengkap. Ada rumah, ada kereta, ada anak isteri dan sebagainya. Sudah pasti bagi kita yang berpendapatan sederhana, segala kelengkapan yang sedemikian itu sudah mencukupi. Tetapi tidak bagi ahli perniagaan tersebut. Walaupun dia mengetahui asetnya sudah mencecah jutaan ringgit, tetapi semakin rakus dia mengumpul harta sehingga berbuat kemungkaran dan meninggalkan suruhan. Maka, bagi mengekang nafsu yang membuak-buak ini, perlulah kita sedari bahawa perlunya bersabar dengan nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah. Jangan tamak mencari harta dunia sebaliknya seimbangkan dengan mencari 'harta akhirat'.

     Bagiamana pula dengan syukur di atas musibah? Begini, ibaratkan kita telah kehilangan sebuah kereta BMW 5 series yang telah lama menjadi idaman kita. Baru sempat pakai dua minggu, akhirnya dikebas orang tanpa meninggalkan sebarang bekas. Maka jelaslah kita bahawa yang berlaku itu adalah musibah. Allah sedang mentarbiyah kita supaya bersabar dengan apa yang berlaku. Setelah membuat aduan kepada pihak berkuasa, kita pulang ke rumah, kita seolah-olah putus harapan. Lalu kita berwudhuk dan terus mengabdikan diri pada Allah. Dalam sujud syukur, kita menangis mengenang nasib yang menimpa. Dalam doa sekali lagi kita menitiskan air mata meminta Allah segera memujuk hati kita. Kita pohon agar ditunjukkan hikmah sebenar di sebalik apa yang telah berlaku.

     Lalu kita menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dengan berat menghembusnya sebagai menunjukkan tanda kekesalan. Dengan helaan nafas itu, kita mula tersedar, 'walaupun aku kehilangan kereta, tetapi Allah masih menganugerahkan aku nikmat bernafas...kalaulah Allah mencabut nyawaku sedang aku bermegah dengan kereta mewah, alangkah hinanya kesudahan hidupku menghadap Allah. Syukur Alhamdulillah...aku masih diberi peluang untuk meneruskan hidup'.

     Kemudian datang isteri memeluk tubuh kita seerat-eratnya. Dia mmembisikkan sesuatu di telinga kita, "Kalau ada seseorang memberi pinjam pada abang sesuatu barang, lalu dia mengambilnya kembali. Adakah abang memarahinya?" Sambil mengerutkan dahi kita menjawab, "Sudah tentu tidak kerana itu hak dia. Boleh abang tahu, kenapa ditanya soalan itu?".

     "Abang, kereta abang itu adalah nikmat pemberian Allah, lalu Allah memberi pinjam pada abang. Kini, adakah abang perlu marah atau bersedih dia atas kehilangan pinjaman nikmat itu?" begitu lembut tutur kata yang menari-nari di bibir isteri. Aduhai, kita terpana seketika. Rupa-rupanya Allah hanya mendatangkan musibah yang kecil sebaliknya Dia menzahirkan di hadapan mata kita kenikmatan seisi dunia. Itulah isteri, memiliki seorang isteri yang menenangkan hati suami adalah merupakan nikmat memiliki dunia dan seisinya. Justeru sekali lagi kita bersyukur. Syukur di atas musibah yang menimpa.

     'La takhaf wa la tahzan, innallaha ma`ana'. Jangan kamu takut dan jangan kamu bersedih kerana sesungguhnya Allah senantiasa bersama kita. Dalam mendepani musibah, rasa sabar dan redha perlu sentiasa ada dalam diri kita. Jangan mengalah awal kerana kemenangan sedang menunggu kita di hadapan. Jangan ragu dengan janji Allah. Jika tidak ketemu dengan kemenangan dunia, Allah pasti akan menemukan kita dengan kemanangan akhirat kelak yakni menjadi salah seorang penghuni Syurga yang di bawahnya mengalir air yang tenang dan di temani bidadari seindah rupawan. Bukankah itu yang sering kita idam-idamkan.

Pada Musibah Terkandung Hikmah

     Sesungguhnya setiap yang dijadikan oleh Allah, ada hikmahnya. Sama ada baik atau buruk, semestinya akan ada kebaikan yang tersirat di dalamnya. Dapat kita simpulkan terdapat beberapa hikmah di sebalik musibah yang Allah turunkan. Hal ini dapat diketahui tentunya bila kita mahu berfikir dengan benar dan mengenal islam yang sebenarnya.

1. Mengetahui besarnya kekuasaan Allah
Diantara kekuasaan Allah yang dapat kita saksikan ialah Dia mampu membuat sesuatu dan mampu menghancurkannya, dan tidak ada sesuatu pun dari makhluk yang mampu menghalangNya.

2. Pelajaran bagi yang berbuat dosa
Hendaknya bencana bisa mengingatkan pelaku maksiat agar bertaubat dan menambah rasa takut.
"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan negeri-negeri di sekitarmu dan Kami telah mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami berulang-ulang supaya mereka kembali (bertaubat)." (Al Ahqof : 27). Dan kata Allag lagi, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Al Baqarah; 222)

3. Menghapus sebahagian dosa orang mukmin
Aisyah berkata, Rasulullah bersabda, "Tidaklah musibah yang menimpa kepada orang Islam melainkan Allah akan menghapus dosanya sekalipun musibah itu hanya tertusuk duri.” (HR. Bukhori 5209)

4. Menambah semangat da’i untuk berdakwah
”Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja diantara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.” (Al Anfal: 25)

5. Menambah pahala jika mampu bersabar
"Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat kelak rugi tanpa membawa pahala." (Lihat Al Iman bil Qadha` wal Qadar oleh Muhammad bin Ibrohim Al Hamd, 106)

6. Mengenal bahawa musibah adalah ujian
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. (Al-Anbiya`: 35)

7. Mengetahui betapa besar nilai nikmat Allah
Kita kadang kala baru menyedari hakikat kebesaran nikmat yang telah Allah kurniakan setelah nikmat tersebut dicabut. Sepertimana nikmat muda apabila datang waktu tua, nikmat kaya setelah menyedari diri semakin papa, nikmat sihat apabila terlantar di hamparan derita dan sebagainya.

8. Meningkatkan ibadah orang mukmin
Orang mukmin semakin melihat kebesaran Allah semakin bertambah pula iman dan amal ibadahnya."Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang apabila disebut nama Allah, maka gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat Akkah kepadanya, bertambah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada Tuhannya." (Al-Anfal : 2)

9. Akan datang kelapangan setelah kesempitan
"(Maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." (QS An Nisa’: 19)

10. Mendapatkan kesejahteraan dan hidayah dari Allah
"Demi sesungguhnya akan Kami uji kamu dengan sesuatu (cubaan), iaitu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (atas cubaan itu).
"Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah (malapetaka), mereka berkata : Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan.
"Untuk mereka itu selawat (keberkatan) daripada Tuhannya serta rahmat, dan mereka itu mendapat petunjuk." (Al-Baqarah : 155-157)

     Pun begitu, masih banyak manfaat yang dapat kita ambil dengan datangnya musibah, misalnya timbul rasa belas kasihan kepada mereka yang ditimpa sesuatu bencana sehingga terbuka pintu hati kita dan ada ruang kesempatan untuk membantu, dan sebagainya.

     Semoga, kita mampu menjadi hamba yang bersabar dan bersyukur. Hidup dunia kita mulia, akhirat kelak kita bahagia. Janji Allah itu benar, kematian itu benar, hari kebangkitan itu benar, saat pengadilan Allah itu benar dan Syurga juga Neraka itu benar. Maka Sabarlah, kerana syurga dan seisinya sedang sabar menanti kehadiran hamba-hamba yang rela bersabar. Dan bersyukurlah kerana Syurga adalah tempat bagi mereka-mereka yang sentiasa bersyukur dengan segala pemberian nikmat yang telah Allah anugerahkan.

Wallahua'lam...


Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Kesilapan: Pengalaman Ke Arah Kejayaan
Friday, January 21, 2011 • 11:14 PM • 0 comments
Sebagai manusia yang penuh dengan kekerdilan, kesilapan sering dialami. Walaupun tiada siapa yang inginkan kesilapan, tetapi jika berlaku ia akan membawa keruntuhan dan kemusnahan dalam kehidupan. Kesilapan dalam tindakan, kesilapan dalam menentukan keputusan atau kesilapan dalam sesuatu perkara teknikal membawa padah bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga melibatkan keluarga dan masyarakat.



Namun kesilapan bukanlah satu noktah dalam kehidupan. Oleh kerana kesilapan itu adalah hasil daripada sesuatu keterlanjuran, maka terdapat ruang dan masa untuk diperbetulkan agar “pisang tidak berbuah dua kali”. Justeru, setiap kesilapan yang dilakukan harus dilihat secara positif bukan sekadar merintih dengan penuh penyesalan tetapi menjadikannya sebagai pengajaran dan pengalaman untuk bangun semula dalam usaha mengejar kejayaan.

Sebagai seorang pelajar pelbagai cabaran harus dilalui sama ada dalam proses pembelajaran maupun dalam proses pergaulan. Setiap manusia mempunyai naluri yang akan mempengaruhi kehendak terhadap sesuatu perkara. Dalam usaha memenuhi kehendak maka manusia juga akan dipengaruhi di antara akal fikiran dengan perasaan yang bertunjangkan ego. Setiap kehendak yang berlandaskan fikiran akan melalui proses penapisan. Proses penapisan ini akan lebih mantap dengan adanya keimanan. Oleh itu setiap kehendak akan dikaji semasak-masaknya agar tidak ada pelanggaran dari aspek agama, sosial, etika maupun peraturan yang tersedia ada. Maka setiap kehendak akan memberi kebaikan dunia dan akhirat.

Di sebaliknya jika kehendak dipengaruhi dengan perasaan ego maka tidak ada penapisan yang berlaku pada perbuatan yang dilakukan. Malah pada ketika itu keegoan yang ada pada dirinya seolah-olah memberi kekebalan padanya sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja perbuatan tanpa mengira kesan baik atau buruk, betul atau salah, bahaya atau selamat.

Setelah terperangkap dengan perbuatan yang menyalahi setiap penjuru kehidupan, atau menerima musibah hasil daripada tindakan yang salah, manusia akan melalui proses penyesalan. Adalah wajar seseorang itu menyesali segala kesilapan yang dilakukan oleh kerana penyesalan akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan harus digandingi dengan usaha ke arah penambahbaikan agar kehidupan dapat diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Segala pengalaman pahit harus dijadikan pengajaran yang mampu mengubah destinasi kehidupan. Sesungguhnya kegagalan yang dialami adalah titik tolak ke arah kejayaan yang bakal ditemui. Setiap langkah akan dibuat dengan lebih berhati-hati oleh kerana pengalaman mengajarnya menjadi lebih matang. Keazaman yang dibuat setelah mengalami kegagalan adalah merupakan keazaman yang berjejak di bumi nyata bukan keazaman yang bersifat khayalan. Dalam hal ini jika keazaman dilaksanakan dengan serius maka kejayaannya akan berlipat ganda malah dapat menandingi sesiapa sahaja termasuk mereka yang digeruni buat suatu ketika dahulu. Kita biasa dengar kisah pelajar yang gagal di peringkat permulaan tetapi akhirnya menjawat jawatan yang tinggi atau pelajar yang nakal tetapi akhirnya menjadi usahawan yang berjaya.



Sesungguhnya pengalaman amat berharga dan tidak boleh dijual beli. Setiap kegagalan itu adalah merupakan satu pengalaman yang harus dijadikan panduan ke arah penyambungan kehidupan seterusnya.


Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Apa itu Nilai dan Bagaimana ia Terbentuk?
• 9:47 PM • 0 comments
APA ITU NILAI?
Secara ringkas nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri seseorang. Ia menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, baik dan betul dalam kehidupan ini. Nilai menimbulkan rasa dalaman yang menyebabkan kita sanggup berkorban dan mempertahankan apa yang kita yakini berharga dalam hidup.
Jadi, nilai adalah pemandu, pendorong dan sumber kekuatan untuk kita membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, untung atau celakanya kehidupan kita di dunia dan akhirat dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan kita. 



Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi, bukannya logik. Begitulah mengikt hasil kajian pakar-pakar psikologi. Maknanya apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya. Dan tetap melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya.
Solat subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui lebih baik daripada tidur. Muazin telah menyeru, “ Solat itu lebih bak daripada tidur”. Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita ketahui dan fikirkan?
Begitu juga menghisap rokok, walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisapnya termasuk sesetengah doktor.
Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan . Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik. Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai!. Oleh sebab itu, nilai ialah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya tersasar, hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.


ERTI NILAI
            Seseorang individu boleh melaksanakan solat subuh hanya apabila dia meyakini dan merasai bahawa solat Subuh itu sesuatu yang bernilai dalam hidupnya berbanding tidur. Manakala perokok tegar akan terus merokok kerana merasakan perbuatannya itu akan memberikan ketenangan dan keseronokan. Keputusan yang dibuat untuk bangun solat subuh atau terus merokok ditentukan oleh nilai masing-masing.
            Nilai pegangan seseorang menentukan apa yang dirasakannya penting dan sangat berharga dalam hidup. Setiap rang mesti jelas tentang apakah nilai yang dipegangnya. Ini supaya dia dapat menjawab persoalan, apa yang kita inginkan dalam hidup ini dengan sejelas-jelasnya.
            Malangnya, ramai yang tidak tahu secara spesifik apa yang mereka inginkan dalam hidup. Ini menyebabkan mereka kabur tentang erti kejayaan dan kebahagiaan. Bolehkah kita mencapai sesuatu yang tidak kita ketahui? Tidak hairan kalau dikatakan, masalah manusia bukan tidak boleh berjaya tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.
            Dan ramai juga orang yang telah tahu tentang apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat untuk mencapainya. Ketahuilah, seseorang yang tidak dapat mencapai apa yang diinginkan dalam hidup adalah kerana dua sebab. Pertama, kita tidak benar-benar inginkan (keinginan kita tidak menyala-nyala). Kedua, kerana kita tidak membayar “harga” (usaha, kesusahan dan kesabaran) untuk mencapai keinginan itu.


KONFLIK NILAI
            Jika kedua-dua faktor di atas wujud dalam diri seseorang, bermakna dia menghadapi masalah nilai - sama ada dia tidak mempunyai nilai langsung atau nilainya dalam keadaan bercelaru dan dan bertentangan antara satu sama lain. Misalnya, dia ingin kejayaan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus seronok berada dalam zon selesanya. Mana mungkin kejayaan dicapai selagi kita masih berada dalam zon selesa? Kejayaan hanya berada dalam zon mencabar. Inginkan kejayaan tetapi masih ingin terus berseronok samalah seperti mengharapkan terang dan gelap pada masa yang sama.
            Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya? Inilah konflik nilai yang sering berlaku dalam diri orang yang gagal. Ironinya, ada orang yang inginkan kasih sayang, persahabatan dan ketenangan dalam perkahwinan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus menikmati kebebasan tanpa perlu dibebankan tanggungjawab dan amanah bagi melindungi isteri dan anak-anaknya. Individu yang begini dia akan jadi serba salah, antara keinginan untuk berkahwin atau terus membujang.

Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)
Hikmah Luka Semalam
Thursday, January 20, 2011 • 1:49 AM • 0 comments
Salamullahi'alaikum...
Ya Allah,
Jika ini jalan terbaik buatku dan 'dia', maka Engkau tetapkanlah hati kami agar beroleh kekuatan dan terus istiqamah dalam menempuh duri ranjau 'perjalanan meniti kedewasaan'.

Amin Ya Allah,
Kini aku benar-benar mengerti, sunnatul hayah bukanlah dalam genggaman tanganku. Qada' dan Qadar bukan atas fasih lidahku. Tapi segalanya adalah atas qudrat dan iradatmu. Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui dan engkau lebih mengerti apa yang terbaik buat kami.

Syukur Ya Allah,
Engkau menghadiahkanku sebuah perjalanan hidup yang cukup indah. Engkau pernah menjatuhkan aku dan seringkali Engkau membangunkan aku dari jatuhan-jatuhan itu. Sifatku sebagai hamba tak kan lari dari pengawasan nafsu. Nafsu Lawwamah masih hebat memelukku walau bergunung usaha pernah ku taruhkan. Bukan sengaja nafsu itu dicipta, tapi adalah sebagai peringatan buat diriku. Namun aku selalu terlupa walaupun senantiasa diingatkan.

Terima kasih Ya Allah,
Dalam perjalananku mencari cinta dan redhaMu, Engkau meniupkan pada hatiku sedamai rasa keajaiban. Jika ini ajaibnya rasa cinta makhluk, sudah pasti tak dapat ku nafikan betapa hebatnya cinta Mu. Ya, aku terpanah dengan cinta insan. Inilah yang pernah dan masih aku rasakan. Ternyata untuk mengelaknya, bagai menolak awan ke arah angin berlawanan. Aku sedar ia khilaf pada aturanmu, tapi sebagai manusia aku lemah. Lemah dalam menyulusuri jalan mujahadah.
Ya Allah, Ya Tuhanku,
Dia hadir memenuhi ruang dalam separuh perjalanan musafirku. Hatiku disentuh oleh lembut kehangatan kasihnya. Dengan sifat kejujuran dihias indah dalam dirinya, dia ingin menjadikan aku teman hidupnya dalam membina Mahligai Cinta. Aku cuba menolak. Tapi dek kejujurannya, aku gugup lalu terus menyambut harapannya dengan tujuan yang sama. Ingin aku menjadikannya teman bicaraku, teman tawa dan tangisku, pengubat kegalauan hatiku juga temanku tak kira musim atau waktu.

Ya Allah,
Tanpa sedar, aku telah merobohkan sendi-sendi SyariatMu. Batas-batas yang masih tebal mendinding, aku robohkan sesuka hatiku. Sekali lagi aku akui bukan salahnya. Segalanya tetap salahku kerana aku gagal membentuk. Jika benar aku ingin dia hidup bahagia di SyurgaMu bersamaku, mengapa sanggup aku membuka matanya pada jurang-jurang kemaksiatan? Kenapa? Kenapa denganku ini Ya Allah?

Namun, aku syukur padaMu...
Kerana Egkau membawaku pada satu titik perubahan. Mudah-mudahan mujahadah ini adalah yang sebenar-benar mujahadah. Dengan kehinaan sifat hamba, aku telah mecipta garis-garis luka dihatinya. Aku membuatkan orang tertawa padanya. Paling dahsyat, aku membuatkan dia menjalani hidup dalam derita. Sangkaku aku dapat menunjukkan padanya jalan terbaik atas landasan Syariat, tapi tindakanku tidak selari dengan niatku. Maka, hujan turun dengan lebatnya... Episod deritanya bermula...

Maafkan aku Ya Allah,
Kerana aku telah mensia-siakan amanahMu. Aku pun bingung dengan tindakanku waktu itu. Tergamak aku melakukan sedemikian padanya sedangkan hatiku tika itu telahku serahkan hanya untuknya. MasyaAllah... aku bersalah. Benar, aku bersalah kerana menzalimi cinta yang kau hadirkan dalam hatiku. Sekarang, terimalah balasannya wahai HATI!

Ya Allah,
Perpisahan ini dicipta bukan atas kebencian. Bukan atas paksaan. Tapi ikhlas hanya keranaMu. Memang benar kata hati masih menginginkan belaiannya, tapi aku harus akur bahawa tujuanku adalah hidup dan mati hanya untuk Mu. Kini, aku bermujahadah dengan seluruh jiwa dan ragaku untuk kembali menganugerahkan rasa cinta ini hanya padaMu. Aku berharap, dia juga begitu.

Harapanku Ya Allah,
Semoga Engkau mempertemukan kami kembali sebagai insan yang benar-benar menaruh harap cinta dan redhaMu. Semoga tercipta Mahligai Cinta yang benar-benar suci dari dosa dan noda. Tetapkanlah hati kami Ya Allah. Jika benar dia milikku, satukanlah hati-hati kami dengan cinta Mu. Jika sebaliknya dalam perancanganMu, tenangkanlah hatiku dengan segala ketentuanMu...

Amiin Ya Allah... Amiin Ya Rabbal 'alamiin...

~permatanurani~~

Labels:


0 Inspirit (s) | Comment Here Inspirit (s)